Wednesday, 7 January 2015

Assalamualaikum WRT,

Alhamdulillah, baru sahaja dapat masuk semula dalam blog saya ini. mudah-mudahan ia dapat saya teruskan selepas ini.
Sekian, wassalam.

Md.Fiah Md.Jamin

Friday, 31 August 2012


KECEMERLANGAN HUBUNGAN KEMANUSIAAN
DALAM KALANGAN PEMIMPIN SEKOLAH
ASAS KEJAYAAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

OLEH

MD.FIAH BIN MD.JAMIN
(Pengetua Cemerlang, SMK Kompleks KLIA, Nilai, N.Sembilan)

Pendahuluan

            Ketrampilan kemanusiaan yang cuba diterapkan dalam kurikulum persekolahan hari ini terutamanya dalam kalangan pelajar-pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negara ini menunjukkan bahawa aspek ”Softskill” dalam mendepani cabaran dunia global hari ini begitu penting. Gerakan menerapkan aspek kemahiran ini mula dititikberatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini di SBP. Jika ianya penting bagi para pelajar lepasan SBP, maka ia terlebih penting lagi diterapkan dalam kalangan lepasan sekolah harian biasa di negara ini lantaran atau memandangkan kekurangan pencapaian mereka dalam aspek akademik dan keilmuannya. Namun usaha menerapkan ketrampilan aspek ini di sekolah-sekolah harian biasa  bergantung sepenuhnya kepada kesedaran dan kemahuan tinggi dalam kalangan pemimpin sekolah dan para guru bimbingan dan kaunseling sekolah masing-masing. Di samping penekanan daripada pihak lebih superior daripada peringkat sekolah hanyalah disampaikan secara ”sambil lalu” sahaja tanpa usaha-usaha yang lebih konkrit seperti mana yang dilakukan oleh pihak atasan SBP yang dibekalkan dengan program-program dan modul-modul pelaksanaannya.
            Walaupun begitu, keberkesanan pelaksanaannya pula bergantung  kepada penghayatan dan ketrampilan hubungan kemanusiaan dalam kalangan kumpulan pengurusan sekolah yang dikepalai oleh pengetua masing-masing. Untuk itu, artikel penulis kali ini menyentuh secara langsung akan mauduk-mauduk yang dikira signifikan untuk diolah pengetua sebijaknya bagi menambahkan keberkesanan mereka menyempurnakan fungsi dan peranan masing-masing.
            Jika pelajar SBP secara umumnya boleh dianggap sebagai bakal-bakal pemimpin dalam organisasi masing-masing, maka pelajar sekolah harian biasa selainnya boleh pula dianggap sebagai para pengikut yang akan sama-sama mencorakkan dan menentukan keberkesanan dan maju-mundurnya organisasi masing-masing. (Md.Fiah, 2011) menyatakan bahawa pemimpin cemerlang terhasil daripada sokongan dan kerjasama padu yang diterimanya daripada orang bawahan atau pengikutnya. Pemimpin berkesan dan berjaya kerana mampu mempengaruhi orang bawahannya untuk menjayakan misi dan visinya secara individu mahupun organisasi dukungan bersama. Oleh itu, adalah perlu semua pelajar di peringkat dan apa jua jenis sekolahnya diberikan bimbingan ketrampilan kemanusiaan (softskill) bagi memastikan mereka mampu berperanan secara tepat dalam organisasi kerjaya masing-masing nanti.
           
Manusia

Manusia atau ”insan”  merupakan objek yang menjadi subjek utama serta asas yang mencorakkan arus kehidupan di dunia ini. Manusia yang diciptakan dengan segala keistimewaan dan diberi tanggungjawab sebagai ”khalifah Allah” di atas muka bumi ini merupakan ”kejadian / makhluk” yang dibekalkan dengan kebolehan dan kemampuan mengurus dan mentadbir alam ini sebaik mungkin.
Insan disebut di dalam Al Quran sebanyak 65 kali dan 240 kali melalui perkataan ”An Nas” dan 18 kali sebagai ”Al ins”. Idris Jauzi (1991) menyatakan bahawa insan adalah makhluk paling mulia dalam kalangan segala makhluk ciptaan Allah yang terdiri daripada jasad dan roh. Manusia dicipta dengan susunan dan bentuk tubuh badan yang sempiurna dan seimbang, dipersiapkan dengan ilmu yang diajarkan sendiri oleh Allah SWT sehingga dengan keilmuannya para malaikat hormat kepadanya dan diberikan amanah sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.
Dalam ”weltanschauung” (pandangan hidup – tasawur) Islam, keperibadian manusia ialah satu kesatuan yang terdiri daripada nilai-nilai material dan moral-kerohanian. Secara keseluruhannya, insan adalah makhluk mulia yang mempunyai peribadi sendiri serta memiliki potensi dan kemampuan akhlak, intelektual, rohaniah dan jasmaniah yang berbeza-beza pula bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.
Dalam konteks pendidikan negara, matlamat pendidikan seperti yang terkandung di dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan adalah untuk melahirkan warga negara yang baik, memiliki ciri-ciri bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Justeru merealisasikan pendidikan, bermakna membentuk dan menjana modal insan untuk sesebuah negara.
Menurut Ahmad Mohd. Said (2007), jika modal insan ini diambil daripada ”the human capital” menurut kaca mata barat, ia lebih sesuai diterjemahkan sebagai ”modal manusia” kerana teras barat melihat ”human as a capital” itu berkait langsung dengan hal-hal ekonomi. Ia hanya menitik beratkan penghasilan sumber manusia yang mempunyai ilmu dan kemahiran sahaja yang ternyata masih belum mencukupi untuk menjadikan mereka benar-benar mampu dan berjaya di dalam matlamat penwujudannya di muka bumi ini. Menurut beliau lagi,  manusia harus juga dilengkapi dengan nilai tambah seperti sikap yang betul, budaya yang tepat serta pandangan sarwa (world view) yang sahih bagi benar-benar meletakkan manusia di tempat yang tinggi dan mulia, yang merupakan kesatuan antara rohani dengan jasmani yang dilengkapi dengan fitrah murni serta nilai-nilai insani.

Hubungan kemanusiaan

Manusia adalah makhluk sosial yang memerlukan corak kehidupan bermasyarakat untuk memastikan kelangsungan hidup di dunia ini. Sangat jarang ditemui manusia yang mampu hidup bersendirian meskipun ada waktunya mereka sentiasa berada di dalam kecukupan yang memungkinkan mereka tidak memerlukan kebergantungan kepada orang lain. Fungsi dan peranan seseorang itu ditentukan oleh pergaulannya sesama manusia yang menjadikan mereka mempunyai “multifunctions” dan “multitasks” pada sesuatu masa. Pada satu ketika mereka adalah pemimpin dan pada masa yang sama mereka juga merupakan pengikut kepada manusia lain. Begitulah dinamiknya hubungan sesama manusia yang menjadikannya sangat istimewa berbanding makhluk lain. Kepelbagaian peranan dan fungsi pada kedudukan masing-masing menterjemahkan makna sebenar hakikat kejadian dan penciptaan manusia di atas muka bumi ini seperti mana yang dikehendaki oleh Tuhan penciptanya.

Mengikut kajian, terdapat tiga teori yang dapat membantu menerangkan model dan kualiti hubungan interpersonal iaitu;

a.  Teori Transaksional – menurut teori ini, hubungan interpersonal berlangsung mengikut kaedah manfaat yang diterima oleh semua pihak dalam perhubungan kemanusiaan  itu. Maknanya di dalam setiap transaksi/aktiviti sesama manusia itu, semua pihak mendapat keuntungan. Perhubungan akan berjalan dengan baik dan sejahtera sekiranya kedua-dua belah pihak mendapat faedah daripadanya namun sekiranya salah satu pihak merasa rugi atau tidak mendapat apa-apa faedah daripada interaksi itu, maka hubungan itu akan terhenti atau menghadapi masalah. Cara hubungan ini boleh diaplikasikan hubungan antara pemimpin dengan pengikut, pengetua dengan guru-guru dan murid-murid, sekolah dengan ibu bapa dan masyarakat, PPD dengan sekolah begitu juga dengan JPN, Kementerian dengan JPN dan sebagainya. Justeru persoalan sama ada hubungan itu “berbaloi” atau tidak menjadi perkiraan utama. Namun demikian, dalam konteks hubungan antara PPD dengan sekolah, JPN dengan sekolah, KPM dengan JPN  dan seumpamanya, ia sebenarnya diasaskan kepada soal amanah dan tanggungjawab serta peraturan dan undang-undang (laws, rules and regulations).
b.     Teori Peranan – teori ini menyatakan bahawa dalam pergaulan masyarakat, senarionya telah disusun dan diatur secara sedar mahupun tidak sedar. Cara pergaulannya telah “dinormakan” mengikut peranan masing-masing (setiap individu). Meskipun ianya tidak tertulis secara rasmi dan dikanunkan, namun masing-masing pihak sedar tanggungjawab yang mesti dimainkan dalam pergaulan kemasyarakatan mereka. Sekiranya mereka semua akur dan mematuhi “norma” yang ditetapkan itu, maka akan harmonilah masyarakat itu, namun sebaliknya jika ada elemen (pihak atau individu) yang menyalahi norma itu maka mereka akan menerima hukuman daripada masyarakat berupa cemuhan dan tentangan dalam pelbagai bentuk.
c.    Teori Permainan – teori ini membahagikan manusia kepada 3 kategori iaitu anak-anak, orang dewasa dan orang tua. Gelagat hubungan manusia dalam masyarakat boleh disamakan dengan ketiga-tiga kategori manusia di atas. Orang yang selalu minta dimanja dan melakukan kesilapan dalam masyarakat dianggap sebagai anak-anak, sementara orang yang tahu dan sedar tanggungjawab masing-masing dianggap sebagai orang dewasa dan orang yang mempunyai autoriti menyatakan sesuatu itu salah atau benar, boleh atau tidak dilakukan dalam masyarakat serta mempunyai wibawa tersendiri dianggap  sebagai orang tua. Jika kita melihat ke dalam  organisasi kita,  ketiga-tiga kategori ini wujud dan boleh kita kenal pasti.


Kepemimpinan

Kepimpinan adalah kombinasi kemahiran yang nyata dan kekuatan personaliti untuk memotivasikan orang lain bagi mencapai matlamat. Matlamat utama kepimpinan ialah merangsang pemain (pengikut) untuk menjayakan hasrat organisasi mengikut tempoh secara berkesan. Ciri-ciri kepemimpinan yang berkesan termasuklah matlamat dan nilai yang hendak dicapai. Burns(1978) menjelaskan kepimpinan ialah menyuntik semangat pengikut untuk bertindak bagi mencapai matlamat yang diwakili oleh nilai-nilai dan motivasi iaitu apa yang diperlukan dan dikehendaki, aspirasi dan jangkaan kedua pihak pemimpin dan pengikut.
Mengikut Md.Fiah (2008), pemimpin bolehlah didefinisikan sebagai seorang yang memberi panduan atau arahan dalam sesebuah organisasi sementara Dato’ Dr. Kamaruddin Kachar (1989) menegaskan bahawa seorang pemimpin itu mesti boleh dijadikan contoh yang baik dan dapat disukai oleh pengikut dan masyarakatnya. Ini bermakna, seorang pemimpin itu merupakan orang yang diberi tanggungjawab untuk menerajui sesebuah organisasi dan mereka harus melaksanakan semua keperluan sebagai pemimpin dalam organisasinya dengan mampu menjadikan dirinya sebagai teladan yang terbaik kepada orang bawahannya.
Kepimpinan menurut Hersey dan Blanchard (1982) ialah proses mempengaruhi orang bawahan untuk mencapai objektif organisasi. Dato’ Dr. Kamaruddin Kachar (1989) melihat kepimpinan sebagai satu proses di mana ketua sebagai pemimpin berusaha mendapatkan kerjasama daripada orang lain untuk mencapai suatu matlamat.Manakala Fiedler dan Gracia (1987) menegaskan bahawa kepimpinan berfokus kepada pemimpin dan peranan yang dimainkan oleh mereka.
Hisham Al-Talib (1992) menjelaskan bahawa kepimpinan adalah satu proses menggerakkan sekumpulan manusia menuju ke suatu arah yang telah ditentukan melalui dorongan yang tidak memaksa. Kepimpinan yang baik menggerakkan manusia untuk memenuhi kehendak jangka panjang. Sementara Mustafa Daud (1994) berpendapat bahawa kepimpinan adalah suatu proses menyelaraskan arahan, mengatur dan mengelakkan penggunaan pendapat sendiri yang boleh merosakkan sesebuah organisasi.
Ahmad Ibrahim Abu Sin (1991) berpendapat, pemimpin adalah penyusun interaksi seluruh warga organisasi untuk mencapai matlamat bersama. Ia menyelaras dan menyatukan semua pendapat, usaha dan tenaga untuk mencapai matlamat organisasi.
Ini menunjukkan bahawa terdapat hubungan dua hala yang amat erat antara pemimpin dengan pengikut, selain wujudnya elemen sentiasa memberi galakan satu sama lain. Ia bermakna pemimpin bukan sahaja bertanggungjawab untuk memberi galakan bahkan sanggup menerima teguran, cadangan dan pandangan daripada pengikutnya

Pemimpin organisasi

Pemimpin sesebuah organisasi merupakan orang yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk mengetuai warganya untuk mencapai objektif atau matlamat penubuhan organisasi berkenaan. Ia boleh sahaja dipilih melalui pelbagai cara, sama ada dengan melihat kebolehan dan bakat kepemimpinan, ketokohan, merit, kompetensi, pengalaman, senioriti dan sebagainya. Namun lazimnya mereka yang dipilih berada di posisi pemimpin organisasi merupak mereka yang difikirkan mampu serta layak melaksanakan tugas dan peranan yang diberikan.
Dalam konteks sekolah, pengetua merupakan pemimpin tertinggi organisasi persekolahannya. Justeru itu, mereka harus mempunyai kompetensi tertentu bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan sempurna. Abas Awang (1999) menyatakan bahawa  sekolah memerlukan seorang pengetua yang mempunyai latihan kepemimpinan mantap untuk menerajuinya.
Sementara Amin Senin (2011) menegaskan bahawa kajian literatur mengenai kepimpinan sekolah jelas menunjukkan bahawa mereka mempunyai peranan yang sangat signifikan dan besat dalam mencorakkan sesebuah sekolah yang mereka pimpin. Huber (2004) menegaskan dua pendekatan bagaimana peranan, tugas, kompetensi dan konsep pemimpin sekolah tersebut boleh difahami iaitu, pertama melalui pendekatan kajian sekolah berkesan (school effectiveness) dan kedua melalui pendekatan kajian penambahbaikan sekolah (school improvement).
Oleh itu, sekiranya sebarang perubahan yang kita inginkan dalam negara akan sangat bergantung dan dipengaruhi oleh produk yang lahir daripada sistem pendidikan negara khususnya sekolah. Sementara sekolah pula dicorak secara langsung oleh para pengetua selaku pemimpin tertingginya. Maka, pengetualah yang harus terlebih dahulu perlu mempunyai sikap, tanggapan, kompetensi , ciri-ciri pemimpin dan stail kepimpinan yang betul dan sesuai bagi memastikan matlamat sekolah mampu dicapai.


Kecemerlangan organisasi

Kecemerlangan sesebuah organisasi merujuk kepada tahap pencapaian prestasi sesebuah organisasi secara menyeluruh. Ini melibatkan pencapaian satu tahap tertinggi atau lebih daripada kebiasaan di dalam semua aspek. Ia bermula dengan kecemerlangan prestasi individu atau setiap pekerjanya, kemudiannya menyumbang secara kolektif kepada kecemerlangan unit, seterusnya menjajar pula kepada kecemerlangan institusi dan organisasi itu secara keseluruhannya.
Di dalam konteks Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah organisasi besar, kecemerlangannya sangat bergantung dan dipengaruhi bermula daripada seorang pekerja bukan guru (staf sokongan atau kumpulan pelaksana), guru-guru (pelaksana di barisan hadapan), Ketua-ketua panitia, Guru Kanan Mata Pelajaran, Penolong-Penolong Kanan, Pengetua, PPD, JPN, Bahagian-Bahagian di kementerian hinggalah kepada Ketua Pengarah Pelajaran sendiri. Maka secara kolektifnya, cemerlang semua pihak dari sudut produktiviti dan prestasi semua aspek akan dapat memastikan kecemerlangan Kementerian Pelajaran dicapai dengan sempurna.

Transformasi Pendidikan Negara

            Transformasi Pendidikan Negara telah mula berlangsung pada tahun 2010 sejak YAB Perdana Menteri Ke-6, YAB Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak  mula menerajui negara. Melalui pengenalan GTP  (Government Transformation Programme) yang membawa kepada 6 bidang keberhasilan utama negara (NKRA) pada awalnya, tetapi pada Julai 2011, bidang keberhasilan ke-tujuh diumumkan iaitu mengatasi masalah peningkatan inflasi dan pertambahan kos sara hidup rakyat. NKRA ini memastikan bidang pendidikan menjadi salah satu bidang yang diberi keutamaan pelaksanaan transformasi ini.  
            NKRA mahupun hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju sepenuhnya pada tahun 2020 tidak akan tercapai sekiranya bidang pendidikan dan modal insannya tidak digarap sepenuhnya dalam proses transformasi ini.  Justeru itu, keutamaan diberikan terhadap bidang ini bagi menyediakan dan menyempurnakan hasrat pencapaian taraf negara maju dengan rakyatnya berpendapatan tinggi.
            YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin (2011) menegaskan melalui gagasan pemikiran ”Haluan Kerja Pendidikan” yang dinukilkan oleh Dato’ Abdul Ghafar Mahmud (Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia), adalah bagi menyatukan tumpuan warga profesional Kementerian Pelajaran Malaysia supaya berupaya bangun sederap dan bergerak seiringan dengan agenda transformasi negara menerusi pembinaan modal insan berpengetahuan aras tinggi, berpemikiran aras kreatif, ,berkemahiran aras inovatif, berjiwa patriotik dan bersahsiah mulia. Tekad bekerja bagi membentuk pasukan pendidik yang efsyen dan efektif sangat penting bagi mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Usaha-usaha yang gigih dituntut bagi merealisasikan hasrat sistem pendidikan kebangsaan, pendemokrasian pendidikan berkualiti, aspirasi motto kerajaan mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Pentingnya hubungan kemanusiaan dalam pengurusan organisasi
           
Mukadimah

Masnur (2010), menyatakan bahawa manusia adalah makhluk sosial yang dicipta bagi berkomunikasi sesama mereka dan bagi mengatur hubungan antara manusia, mereka memerlukan pemimpin yang mampu memikul tanggungjawab, membimbing dan memandu pekerjaan itu supaya mencapai kejayaan. Inilah hakikat pengutusan rasul kepada umat manusia untuk setiap zaman agar mereka bebas daripada kegelapan, kembali kepada akidah sebenar, melakukan pembaikan dan membaikpulih. 
Saiful Islam Ibnu Taimiyyah melalui kitabnya ”Siyasah Syar’iyah” menyatakan bahawa  adalah wajib diketahui  bahawa mentadbir urusan manusia adalah termasuk di dalam kewajipan agama. Kepentingan umat manusia tidak akan dicapai dengan sempurna kecuali dengan kerja berkumpulan, kerana mereka saling memerlukan. Dengan berkumpulan itu pula, mereka perlu memiliki pemimpin.
Pemimpin yang berjaya menurut Dale Carnegie (1997) ialah orany yang berjaya mendapatkan seberapa ramai rakan yang mampu membantunya mencapai kejayaan organisasi serta kebijaksanaan dan ketrampilan mereka mempengaruhi orang lain untuk menjayakan cita-cita mereka bersama.
Md.Fiah (2009) menyatakan sifat-sifat dan ciri-ciri kepemimpinan yang berkesan tidak dapat dipisahkan dengan kemahiran dan ketrampilan berkomunikasi dalam kalangan mereka. Beliau menegaskan bahawa banyak masalah timbul dalam kehidupan dan hubungan sosial manusia adalah berpunca daripada kegagalan mereka dalam komunikasi.
Perhubungan sesama manusia sangat penting diambil perhatian. Hubungan sesama manusia tidak dapat dielakkan. Di peringkat sekolah, kejayaan pentadbiran sesebuah sekolah sangat bergantung kepada cara mana hubungan antara pengetua, pentadbir, guru, pelajar dan ibu bapa dan pihak luar.
Kebanyakan pengetua dan pentadbir telah mengetahui pelbagai teori pengurusan dan ilmu psikologi. Malangnya ramai pengetua tidak aplikasinya di sekolah atau merasakan tidak sesuai dilaksanakan di peringkat sekolah. ‘Block mental‘ ini harus diketepikan. Sepatutnya para pengetua mengubahsuai teori-teori yang dipelajari dan tidak mengabaikannya begitu sahaja.

Kemahiran Interpersonal

            Kemahiran interpersonal kadang kala dirujuk juga sebagai ”kemahiran kemanusiaan” atau ”kemahiran komunikasi”. Ia melibatkan penggunaan pelbagai kemahiran seperti kemahiran mendengar secara aktif, intonasi suara, proses deligasi dan kepemimpinan itu sendiri. Ia juga berkenaan dengan bagaimana kemampuan kita berkomunikasi dengan orang lain serta bagaimana sikap serta pembawaan kita dalam organisasi atau masyarakat. Ia adalah cara bagaimana seseorang individu mempunyai kaitan antara satu dengan lain dalam sesebuah organisasi atau masyarakat.
Menurut Bennis dan Nanus (1985) terdapat empat dimensi  penting sikap para pegawai bawahan yang mencerminkan keberkesanan kepemimpinan seseorang. Empat dimensi itu ialah perubahan diri ke arah positif secara signifikan, kecekapan diri semakin meningkat, kejelekitan seperti berada di dalam sebuah keluarga dan keseronokan bekerja. Adalah ditegaskan sekali lagi bahawa dimensi-dimensi ini hanya boleh dicapai melalui pemerkasaan dan bukannya penguasaan.
Dalam konteks kepengetuaan sebagai hirarki tertinggi dalam kepemimpinan sesebuah sekolah, kemahiran hubungan interpersonal membolehkan seseorang pengetua memimpin dengan menggunakan daya tarikan dan sebaliknya  bukan daya tolakan, dengan menginspirasikan bukan mengarahkan, dengan membentuk harapan sungguhpun mencabar tetapi boleh dicapai dan memberi ganjaran atas sebarang kemajuan bukan dengan cara memanipulasi tetapi dengan membolehkan pegawai bawahan menggunakan inisiatif dan pengalaman mereka bukan menafikan atau mengekang  pengalaman dan tindakan mereka serta bekerja bersama mereka bukannya mendominasi mereka dalam semua perkara.
Oleh itu, setiap pemimpin wajar mencerminkan pendekatan kepemimpinannya seraya bertanya diri sendiri di mana tahap keberkesanan kepemimpinannya. Melalui penggunaan kemahiran komunikasi dan interpersonal seseorang pemimpin dapat mempertingkatkan keberkesanan pengurusan dan kepemimpinannya.

Kemahiran Komunikasi

            Kemahiran berkomunikasi bermaksud kebolehan seseorang melakukan proses pemindahan maklumat, perasaan, idea dan pemikiran kepada individu lain dengan berkesan. Ia adalah suatu seni yang menyalurkan idea-idea dan sikap seseorang individu kepada individu yang lain. Dalam organisasi, komunikasi menjadi asas penghubung antara matlamat organisasi dengan pelaksana atau warga organisasi berkenaan.
            Hari ini timbul pula konsep ”Kecekapan Metakomunikasi ” yang membawa maksud kebolehan untuk mengatasi dan menangani masalah dalam  perbualan dan memperbetulkan masalah komunikasi menggunakan pelbagai cara komunikasi praktis seperti
a.      Komunikasi verbal – menggunakan perkataan atau maksud sesuatu perkataan  berkaitan
b.      Komunikasi paraverbal iaitu kekuatan suara, adab semasa berkata, proses mendiamkan diri, maksud yang tersirat apabila melakukan ”pemotongan” hujah atau melibatkan diri dalam sesuatu perbualan/percakapan.
c.      Komunikasi nonverbal seperti bahasa badan (mimik muka, kontak mata, gerak badan – gestures. Iaitu menyampaikan mesej tanpa perkataan/mengeluarkan kata-kata.
d.      Komunikasi ekstraverbal termasuklah masa, tempat, perkara, konteks, orientasi terhadap kumpulan sasar, sentuhan (feeling by touching) dan aspek bau-bauan.

Dalam  kompetensi metakomunikasi, seseorang itu mampu menganalisis perbualan untuk mengelakkan dan memperbetulkan masalah yang timbul.  David Morley menyatakan bahawa komunikasi merupakan perkataan baru yang menterjemahkan budaya dengan masyarakat kerana dalam komunikasi, ia adalah aktiviti yang melibatkan pemindahan mesej yang mengandungi informasi, idea atau pengetahuan.

Keberkesanan Komunikasi

Keberkesanan komunikasi bergantung kepada beberapa perkara. Hal ini termasuklah;
1.   Kepercayaan – penyampai harus mempunyai kepercayaan daripada pendengar. Justeru itu, mereka harus berupaya menarik perhatian dan tumpuan pendengarnya. Ini dapat membantu kelancaran penyampaian maklumat oleh penyampai. Akhirnya menjadikan penyampai bertambah yakin.
2.   konteks – sesuatau komunikasi haruslah mempunyai kebenaran terutamanya dalam konteks tertentu mengikut tujuan dan matlamat sesuatu komunikasi berkenaan dilakukan.
3.     Kandungan – perkara yang hendak disampaikan itu haruslah mempunyai makna kerana hsl ini boleh mempengaruhi pendengar untuk bertindak.
4.   Kejelasan – iaitu mesej seharusnya tidak mengelirukan. Justeru itu, pemilihan kata-kata atau simbol ketika komunikasi mestilah dipilih dengan betul dan tepat untuk memelihara kejelasan penyampaian maklumat berkenaan semasa komunikasi.
5.     Keupayaan pendengar – tahap keupayaan pendengar akan menentukan kekesanan komunikasi. Jika tahap pemahaman pendengar tinggi, maka penyampai harus menggunakan  ayat-ayat dan perkataan yang sesuai dengan tahap ilmu yang dimiliki oleh mereka. Sebenarnya ayat dan perkataan yang mudah difahami jika digunakan oleh penyampai, akan  meningkatkan keberkesanan komunikasi dua hala.

Kemahiran Perundingan

            Kemahiran perundingan dalam kalangan pengetua sangat penting dan kritikal bagi membolehkan mereka melaksanakan semua perancangan ke arah kemajuan dan kecemerlangan sekolah dapat dilakukan dengan lancar. Apabila pengetua selaku pemimpin organisasi memperbaiki kebolehan dan kemahiran berunding, mereka akan memperolehi kebolehan dan kemampuan menambah nilai beberapa aspek dalam diri untuk menghadapi kehidupan yang semakin mencabar. Ianya boleh dilakukan dengan menambah kemahiran dalam komunikasi dan mempengaruhi atau memujuk orang lain.
            Mengikut Pruitt (2006) sekurang-kurangnya terdapat 10 sebab mengapa para pemimpin harus meningkatkan kemampuan berunding iaitu;
a.      Menambah nilai dan faedah kepada diri sendiri dan profesion
b.  Mencapai hasil yang dihajati dan mencipta sinergi semasa menjalinkan hubungan dengan pihak lain.
c.      Memaksimumkan keuntungan dan pulangan daripada segi kewangan dan sebagainya melalui perundingan.
d.      Mengelakkan diri mereka daripada ditipu.
e.      Menutralkan perunding-perunding yang sukar dengan taktik-taktiknya.
f.        Menghadiri dan mengelolakan perundingan dengan keyakinan yang tinggi.
g.      Tahu bila dan bagaimana untuk keluar dan meninggalkan sesuatu perundingan apabila perlu berbuat demikian.
h.      Memperbaiki hubungan interpersonal dengan rakan sekerja, pelanggan dan orang yang dikasihi.
i.         Membina kemahiran kepemimpinan dan membangunkan kemahiran membina pasukan kerja.
j.         Mengubah perbezaan budaya dan kepelbagaian kepada aset dan bukannya liabiliti.

Md.Fiah (2007) menyatakan, meskipun tahap dan jenis perundingan yang sering dilalui pengetua sebagai pentadbir sekolah tidaklah terlalu besar sehingga boleh menyebabkan sistem dan dasar pendidikan di negara ini terganggu atau berubah, namun pengetua harus sentiasa membuat persiapan diri kerana mungkin suatu hari nanti kita diperlukan untuk terlibat secara langsung dalam perundingan yang penting.

Kemahiran Memujuk

            Kemahiran memujuk merupakan suatu proses pembentukan sikap dan tingkahlaku seorang melalui komunikasi tanpa tekanan, halangan, paksaan dan seumpamanya tetapi terpengaruh melalui komunikasi dengan orang lain. Pujukan melibatkan proses memanipulasi orang lain. Namun tanpa kebolehan memujuk ke arah kebaikan dalam kalangan anggota masyarakat, keadaan kecelaruan dalam kalangan mereka mungkin boleh berlaku. Ia juga menjadi satu cara kawalan dalam sesebuah masyarakat.

Pengaruh bahasa memujuk

            Kuasa dan daya pujuk diperlukan hamper dalam semua aktiviti seharian manusia yang melibatkan interaksi, transaksi dan perhubungan  sesama mereka bagi mencapai hasrat sama ada individu berkenaan mahupun hasrat organisasi yang mereka wakili. Begitu juga hamper semua bidang kehidupan dan aktiviti kemasyarakatan sama ada di pringkat paling asas (individu dengan individu) sehinggalah kepada soal yang melibatkan hubungan antara bangsa, daripada aspek pergaulan harian sehinggalah kepada urusan perniagaan antara bangsa, lokal mahupun global, daripada seorang juru jual hinggalah kepada seorang pemimpin pakatan negara-negara besar seperti NATO, kebolehan dan keupayaan memujuk sangat diperlukan untuk mencapai hasrat dan matlamat mereka bekerja.

            Daya pujuk ini disampaikan melalui bahasa  memujuk yang bukan sahaja menarik minat pendengar atau pelanggan, malah berupaya menaikkan semangat sehingga memerangkap mereka untuk turut terlibat dalam hal yang sama. Ia adalah bahasa psikologi yang mengeksploitasi aspek emosi pendengar atau pelanggan yang akan menjentik ego mereka.

            Oleh itu, bahasa memujuk mampu mengubah pandangan dan persepsi seseorang terhadap sesuatu (perkara atau produk) sehingga sikap mereka terhadapnya akan turut berubah. Proses melobi yang dilakukan dalam banyak situasi dan hal sama ada di dalam perniagaan mahupun bidang lain, juga menifestasi kepada proses memujuk yang dilakukan oleh suatu pihak untuk memastikan hasrat pihak yang diwakilinya itu tercapai.

Maka, dalam konteks sekolah, para pengetua harus menguasai kemahiran memujuk melalui kebolehan berbincang, bercerita, berlakon dan bersandiwara dengan sungguh-sungguh bagi mempengaruhi orang bawahannya  mencapai  matlamat organisasi mereka.

/business-management/
Kemahiran Mendengar

            Keberkesanan sesuatu komunikasi juga amat bergantung kepada faktor pendengar yang baik. Pendengar yang baik penting untuk menghasilkan beberapa perkara
1.        Meningkatkan keyakinan penyampaian oleh penyampai
2.        Mewujudkan suasana yang menggalakkan komunikasi berkesan secara mesra berlaku
3.        Memastikan kelancaran penyampaian tanpa gangguan atau pada tahap gangguan yang paling minimum
4.        Mengurangkan tension dan stress dalam kalangan penyampai yang boleh meningkatkan keupayaan penyampai menggunakan segala potensi besar dalam dirinya untuk meyakinkan pendengar
5.        Menambah peluang dan ruang interaksi di antara penyampai dengan pendengar yang akhirnya mengukuhkan situasi mesra dan saling hormat menghormati yang membawa kepada terhasilnya komunikasi berkesan.

Justeru itu, beberapa sifat, sikap dan perlakuan penting perlu diamalkan oleh seseorang pendengar bagi memampukan mereka menjadi pendengar yang baik dan boleh menyumbangkan ke arah penghasilan komunikasi berkesan. Antara sikap yang perlu ada dan diamalkan oleh pendengar yang baik ialah;
1.          Mempunyai sikap  dan fikiran yang sentiasa terbuka. Dengannya ia mampu menjadikan seseorang pendengar itu sentiasa bersedia menerima dan mendengar tanpa halangan dalaman berupa ilmu dan pengalaman lama terutamanya jika fakta yang dipaparkan itu bertentangan dengan ilmu dan pengalaman benar dalam kehidupan mereka.
2.          Sentiasa cuba memberi tumpuan pada sepanjang tempoh komunikasi berlangsung. Tumpuan akan membenarkan pendengar meneliti setiap isi perbualan dan perbincangan yang dijalankan. Pemahaman dan kejelasan ilmu serta fakta yang ditangkap daripada perbualan akan meningkat.
3.          Bagi mengelakkan kelupaan dan tertinggal isi-isi penting yang terhambur sepanjang komunikasi dan interaksi berlangsung, amalan mencatat perkara-perkara penting daripadanya begitu perlu. Hal ini amat berguna apabila kita menghadapi masalah kurang jelas atau faham maka pendengar boleh meminta penjelasan daripada penyampai kemudiannya.
4.          Pendengar yang baik juga tahu di mana dan pada ketika bila mereka boleh dan perlu menyampuk atau mencelah. Kadangkala, sampukan yang tepat pada masanya boleh membantu menghidupkan suasana ceria komunikasi selain memberi pengukuhan kepada isi penting yang diulas oleh penyampai. Namun begitu, bukan semua penyampai gemar perbuatan “mencelah” dalam kalangan audien mereka, justeru itu, pendengar juga harus mengerti dan mengkaji kesesuaian perbuatan menyampuk itu mengikut penyampai tertentu.
5.          Pendengar yang baik juga ditanda melalui kesediaan mereka untuk bertanya sekiranya mereka kurang faham tentang sesuatu perkara atau fakta yang diterangkan oleh penyampai. Namun begitu, pertanyaan itu seharusnya tidak langsung menggambarkan kekurangan mereka memberi tumpuan semasa penyampaian berlangsung sebelumnya.
6.          Pendengar yang baik juga sangat menghargai apa-apa yang disampaikan oleh penyampai. Mereka menghormati penyampai dan sentiasa bersedia menerima ilmu daripada mereka seumpama seorang murid yang bersedia menerima ilmu daripada seorang guru. Jika ini dapat dilakukan oleh pendengar, mereka akan mendapati bahawa mereka begitu mudah menerima ilmu dan kefahaman ilmu daripada penyampai ilmu berkenaan. Inilah yang dikenal sebagai “Adab Menuntut Ilmu”

Kesetiaan dan semangat sepasukan

            Semangat sepasukan atau berpasukan merupakan unsur yang mampu menyatu padukan seluruh warga sesebuah organisasi untuk menjayakan sebarang hasrat bersama atau organisasi. Ia akan terjelma melalui kerjasama, rasa kesepunyaan, rasa kekitaan, komitmen dan penyertaan atau penglibatan menyeluruh di dalam semua aktiviti yang dilaksanakan oleh organisasi.
            Semangat kerja sepasukan ini akan membuahkan rasa kesetiaan (loyalti) kepada organisasi milik mereka bersama. Ia penting kerana kejayaan sesebuah organisasi tidak mungkin hanya dijayakan dan ditentukan oleh seorang individu atau sekumpulan individu di dalam organisasi berkenaan sahaja, malah ia adalah kesepaduan usaha yang disumbangkan bersama oleh seluruh keupayaan yang dimiliki oleh warganya. Sementara pemimpin di dalam konteks ini hanyalah berperanan sebagai pemangkin / inspire yang cuba menyatukan , menyepadukan  dan menggembleng seluruh potensi yang dimiliki oleh setiap warga  di dalam organisasi mereka. Antara manfaat yang akan diterima daripada semangat ini ialah;

a.      Terhasilnya penyelesaian masalah yang lebih berkesan kerana kepelbagaian kepakaran digembleng bersama dalam penyelesaian tersebut
b.      Meningkatkan moral dan kepuasan kerja warga oragnisasi berkenaan kerana mereka semua berpeluang menyumbang ke arah kejayaan organisasi
c.      Penyelesaian masalah dengan cepat kerana dikongsi dan diambil tindakan secara kolektif
d.      Cadangan yang dibuat secara kolektif lebih mudah dilaksanakan berbanding cadangan dari individu tertentu sahaja.
e.      3 aspek penting akan diperkukuhkan melalui semangat sepasukan iaitu pertukaran maklumat dan idea secara lebih meluas dan cepat, semangat saling mempercayai meningkat dan komunikasi menjadi lancar dan berkesan.
f.        Warga berpeluang dan berkebolehan menyumbang idea baru yang kreatif dan inovatif kepada organisasi
g.      Peningkatan kualiti dan produktiviti organisasi serta meghasilkan ”kecekapan kos”
h.      Hubungan inter dan intra agensi/jabatan dalam organisasi akan lebih lancar dan mudah serta terhindar daripada ”gangguan kesan Halo”

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk meningkatkan tahap semangat sepasukan dalam kalangan warga sesebuah organisasi seperti sekolah umumnya iaitu;

a.      Menjalankan kempen kesedaran
b.      Mengadakan latihan
c.      Mewujudkan struktur pasukan
d.      Memberi lebih kuasa bertindak  (empowerment) kepada pasukan kerja, dan
e.      Memberi pengiktirafan

Pengikut dan Kepengikutan Cemerlang

Md.Fiah (2011), mengulas mengenai pengikut dan kepengikutan cemerlang serta kaitannya dengan pengetua sebagai pemimpin di sekolah. Menurut beliau, sebagai seorang pengetua muslim, beberapa  kesedaran asas perlu mereka rasai dan hayati terlebih dahulu iaitu;

i.                     Sedar bahawa  kepimpinan merupakan suatu amanah dan bukannya keistimewaan untuk menerima “ghanimah” (harta rampasan peperangan).
ii.                   Sedar bahawa ia adalah tugas mulia penyambung kepada tugas para Nabi dan Rasul yang diutuskan Allah SWT pada setiap zaman dan kaum sehingga Nabi Muhammad SAW.
iii.                  Sedar risiko besar menunggu mereka selepas dibangkitkan semula dan menerima pengadilan Allah SWT yang Maha Adil sehingga sekecil-kecil perkarapun akan terhitung olehNya. Mereka meyakini sepenuhnya akan adanya kehidupan selepas mati serta mahkamah keadilan Allah SWT di akhirat merupakan mahkamah paling adil yang akan memaparkan segala kebenaran yang tiada yang benar kecuali yang benar belaka.
iv.                 Sedar bahawa semua amalan yang mereka lakukan sama ada baik mahupun sebaliknya akan menatijahkan kesan “chain-reaction” yang akan menggandakan pahala mahupun dosa hasil ikutan oleh para pengikut mereka.
v.                  Sedar bahawa untuk melaksanakan tugas kepengetuaan dengan berkesan, mereka perlu sentiasa belajar dan menguasai kemahiran komunikasi dan kepemimpinan yang jelas dan betul. Mereka harus melengkapkan diri dengan ilmu kepimpinan serta mengambil contoh ikutan sebaik-baiknya daripada Rasulullah SAW.
vi.                 Sedar bahawa mereka mesti berlaku adil terhadap semua orang bawahannya kerana para pengikut merekalah yang bergabung usaha dan tenaga untuk mencapai visi bersama sebagai sebuah pasukan.
vii.               Sentiasa mengamalkan sikap kesedarhanaan dalam tindakan dan perbuatan ketika melayani dan berinteraksi dengan para pengikut mereka. Keindahan dan kerendahan hati disulam dengan akhlak dan pekerti mulia yang mentabiat di dalam diri akan sentiasa mampu meraih keinginan bersama meraih kecemerlangan organisasi milik semua.
viii.              Menyedari kepelbagaian upaya, kemahiran dan kebolehan dalam kalangan pengikut serta memberi peranan yang paling sesuai dengannya akan membantu wujudnya sifat atta’awun (perimbangan – lsaling melengkapi) dalam kalangan warga organisasi. Ini kerana ia menjadi teras kepada mudahnya proses menuju ke arah kecemerlangan dilaksanakan.
ix.                  Menjadi model dalam semua perkara dan kehidupan bermasyarakat..ini akan meraih rasa hormat dan segan dalam kalangan pengikut.
x.                   Menjadi role model kepada amalan “memberi” dalam kalangan warga sekolahnya. Pengetualah sepatutnya yang menjadi pemula kepada semua aktiviti memberi di sekolahnya. Memberi dalam maksud seluas-luasnya dipraktikkan oleh pengetua selaku ketua dan pemimpin sekolah.
xi.                  Mengotakan apa yang dikatakan.

Melalui semua amalan di atas, seseorang pengetua akan mampu meraih sokongan dan dukungan para pengikutnya (warga sekolahnya) untuk berusaha semampu mungkin untuk mencapai matlamat dan objektif organisasi (sekolah) milik mereka bersama. Ada pendapat mengatakan pengikut yang baik adalah pengikut yang mampu mengurus pemimpinnya atau bosnya (managing the boss). Jika dahulu pengikut yang baik itu bergantung kepada kuasa dan autoriti pemimpin kerana pemimpin mempunyai hak dalam menentukan kelebihan seseorang pengikut menurut kemahuan dan kehendak pemimpin berkenaan secara individu.
Kualiti kepengikutan menjamin sesebuah organisasi itu dapat ditadbir dan diurus serta dipimpin dengan cemerlang memenuhi hasrat dan cita-cita bersama. Ketaatan dan kesediaan penuh untuk memberi sokongan dan bantuan kepada pemimpin oleh para pengikut memberi impak yang cukup besar dalam menjayakan kepemimpinan seseorang pemimpin yang diberi amanah menerajui organisasi berkenaan.

Organisasi Pembelajaran
           
Senge (2000) menyatakan bahawa Organisasi Pembelajaran bermaksud wujudnya sebuah organisasi yang warga di dalamnya terus memperkembangkan kebolehan dan kemampuan mereka untuk mencipta hasil yang mereka semua kehendaki, pada masa yang sama corak perkembangan cara pemikiran baru dilatih dan diperkukuhkan, di samping mereka bebas menentukan aspirasi bersama serta organisasi di mana warganya secara berterusan belajar bagaimana untuk belajar bersama.
Sementara  menurut Watkins dan Marsick (1999) sebelumnya yang menggunakan tujuh unsur organisasi pembelajaran iaitu;

a.      Membentuk peluang pembelajaran berterusan
b.      Menggalakkan persoalan dan dialog
c.      Menggalakkan kerjasama dan belajar berkumpulan
d.      Menurunkan kuasa (empower) ke arah visi kolektif
e.      Memperkukuhkan sistem untuk menentukan perkongsian pembelajaran berlangsung
f.        Menghubungkan organisasi dengan persekitaran
g.      Menyediakan pemimpin strategik untuk pembelajaran berlaku

Md.Fiah (2006) menyatakan bahawa bagi memastikan sesebuah organisasi (sekolah)  itu boleh dianggap sebagai sebuah organisasi pembelajaran, ia mesti juga mempunyai beberapa amalan seperti,

a.      Mengoptimumkan penggunaan peluang pembelajaran sedia ada di dalam organisasi
b.      Untuk setiap peluang yang ada tersebut, mereka harus memberi nilai tambah kepadanya untuk memastikan ia terus kekal praktis dan dipraktikkan
c.      Warganya harus sentiasa mencari peluang-peluang pembelajaran dan pendidikan yang baru. Mereka juga harus berkeupayaan mencipta dan membina peluang-peluang baru sendiri. Berkongsi dan mengongsikan semua peluang pembelajaran . mereka tidak harus mempunyai perasaan lokek atau kedekut dengan setiap ilmu pengetahuan  yang diperolehi untuk dikongsikan bersama rakan-rakan lain di dalam organisasi mereka.

Oleh itu, sebuah sekolah yang boleh dikategorikan sebagai sebuah organisasi pembelajaran haruslah sentiasa tersemai dan terbudaya beberapa sifat atau kriteria yang boleh dijadikan sebagai faktor kejayaan penerapannya di sekolah berkenaan termasuklah;

a.      Semua warganya harus berpegang kepada aspirasi bahawa maju mundurnya organisasi mereka (sekolah) adalah tanggungjawab mereka secara kolektif dan bukannya hany a tanggungjawab pengetua atau kumpulan-kumpulan tertentu di  sekolah mereka. Ini bermaksa setiap individu warganya sentiasa mengamalkan sikap ”ambil berat”,  ”peduli”  atau ”cakna” yang tinggi terhadap organisasi milik bersama.
b.      Suburnya semangat kerjasama dan menjadikan sekolah sebagai sebuah ”Sekolah Koperatif” dalam kalangan seluruh warganya. Untuk itu mereka harus berpegang kepada amalan saling membantu, saling melengkapi antara satu sama lain dan bukannya bersaing secara negatif.
c.      Kukuhnya semangat gotong-royong yang akan meringankan segala beban dan rintangan yang dihadapi secara kolektif. Pepatah ”Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” akan memperkuatkan semangat kerjasama dan kekitaan dalam kalangan warga yang akan mensinergi potensi mereka bersama.
d.      Natijah terpenting daripada ketiga-tiga perkara di atas ialah kesatuan dan kesepaduan yang wujud di dalam kalangan warga sekolah yang memungkinkan segala perkara dilakukan dan dihadapi secara padu dan langkah yang ”sederap” mampu dihasilkan sebagaimana yang diinginkan oleh Ketua Pengarah pelajaran Malaysia melalui ”Haluan Kerja Pendidikan .”
e.      Ciri individu selaku warga organisasi itu akan terpancar beberapa sikap seperti semangat sentiasa ingin belajar, semangat suka belajar, berfikiran terbuka dan sentiasa positif serta berusaha untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan dan melakukan perubahan ke arah situasi yang lebih positif.

Sekolah dan Kepemimpinan Pengetua

            Sesebuah sekolah boleh bergerak tanpa memerlukan kehadiran seorang pengetua di sekolah berkenaan. Ini sebahagian daripada pandangan sebahagian kecil guru di mana-mana sekolah di negara ini. Malah sebahagiannya berpandangan lebih radikal lagi dengan mengatakan bahawa pengetua hanyalah lambang kepada pengurusan sesebuah sekolah, tanpa seorang pengetua tidak akan menyebabkan sesebuah sekolah itu perlu ditutup dan diberhentikan operasinya. Bahkan melalui banyak kajian, didapati bahawa stail kepimpinan seseorang pengetua itu tidak mempunyai kaitan yang signifikan kepada pencapaian dan kecemerlangan murid.
            Namun demikian, banyak juga tulisan yang menegaskan secara tuntas akan kepentingan kehadiran seorang pemimpin sekolah bernama pengetua. Bahkan ada tulisan yang menghitam putihkan peranan besar pengetua sehingga maju mundurnya sesebuah sekolah terletak di tangan mereka semua secara jelas.
           
Pemimpin Instruksional

            Pemimpin instruksional merupakan ciri pemimpin yang sangat diperlukan dalam setiap organisasi yang berorientasikan pendidikan atau menjadikan pendidikan sebagai ”core business” mereka. Ishak (2003) menyatakan bahawa ia menekankan kepada keberkesanan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran. Sementara DeBovoise (1984) dan Greenfield (1987) mentakrifkannya sebagai tindakan-tindakan yang diambil oleh pengetua atau wakilnya bagi tujuan mempertingkatkan perkembangan pembelajaran murid-murid.
            Menurut Peterson (1987) terdapat enam ciri utama kepemimpinan instruksional iaitu;
a.      Menjalankan penyeliaan ke atas pengajaran guru
b.      Mengawal selia kemajuan pembelajaran murid dengan menjalankan kajian ke atas keputusan ujian-ujian / peperiksaan
c.      Menyelaras program-program pengajaran dengan bantuan guru-guru
d.      Memupuk perkembangan staf dengan menyediakan peluang-peluang  untuk peningkatan profesionalisme guru.
e.      Menjelaskan tanggungjawab guru-guru yang berkaitan dengan program peningkatan pencapaian murid
f.        Berbincang dengan guru-guru tentang pengajaran dan pembelajaran.

Tiga dimensi utama kepimpinan instruksional seperti digariskan oleh Hallinger dan Murphy (1985) ialah;
a.      Mentakrif dan menentukan matlamat sekolah
b.      Pengurusan program pengajaran
c.      Memupuk iklim  sekolah
Ishak (2003) menyatakan bahawa kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan  terdapatnya peningkatan pencapaian akademik apabila pengurus sekolah mengamalkan ciri-ciri kepimpinan instruksional dalam pengurusannya.




Pemimpin Transformasional

            Zaidatol Akmaliah (2003) mendefinisikan kepemimpinan transformasional sebagai proses pemimpin mempengaruhi perubahan besar dalam organisasi serta membentuk komitmen ahlinya untuk mencapai misi, matlamat dan strategi organisasi. Ia adalah konsep penerimaan ramai yang membawa kepada pencapaian hasil utama organisasi.
            Ini bermakna bahawa jika seseorang pemimpin sekolah (pengetua) khususnya ingin supaya organisasinya maju dan berjaya, maka mereka bukan sahaja perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ketrampilan dan ilmu kepemimpinan, malah mereka juga harus mampu membawa perubahan daripada pelbagai aspek kepemimpinan di dalam organisasinya. Sekolah hari ini memerlukan pengetua yang bersifat transformasional  untuk lebih berdaya saing.
            Melalui pemimpin transformasional ini, proses memperteguh pembinaan kapasiti untuk penambahbaikan sekolah yang amat memerlukan dorongan pemimpin seumpamanya bagi membawa kepada perubahan dan pembangunan organisasi (Seller, 2001).
           
Pemimpin Distributif

            Kepimpinan distributif mula dibincangkan di negara ini secara serius di dalam seminar yang diadakan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, Pahang pada tahun 2009. Ia membawa makna pemimpin di dalam sesebuah organisasi itu bersedia dan sentiasa melakukan pembahagian kuasa kepemimpinannya mengikut tahap dan strata organisasi kepada pemimpin bawahan yang lain. Kebebasan diberi kepada para pemimpin bawahan di peringkat kuasa masing-masing untuk melengkapi visi organisasi yang diamanahkan kepada unit dan bahagian mereka.
            Teras utama kepimpinan distributif ini ialah kepercayaan dan hubungan interpersonal yang berkesan antara pemimpin atasan dengan semua pemimpin di setiap tahap dalam organisasi mereka. Oduro (2004) menyatakan proses distribusi / pengagihan kepimpinan di sekolah boleh difahami sebagai
a.      Inisiatif pengetua berkongsi tanggungjawab dengan guru-guru lain
b.      Membina persekitaran yang membolehkan guru-guru berasa bebas untuk melakukan sebarang inisiatif serta merasai / mengalami tanggungjawab kepemimpinan secara individu
c.      Cara bagaimana pengetua, guru-guru serta murid-murid berhubung antara satu dengan lain dalam rangka merealisasi dan menghayati konsep kepemimpinan yang lebih luas.

Menurut beliau lagi, elemen seperti ”kepemimpinan tersebar”, kepemimpinan kolaboratif”, ”kepemimpinan demokratif” dan ”kepemimpinan bersama / shared leadership” sebenarnya menggambar dan memaparkan elemen distributif tersebut. Di sekolah hari ini, dengan segala kompleksiti yang wujud, maka pendekatan kepemimpinan bersinerrgi yang menggabungkan seluruh potensi warganya amat diperlukan.
            Junaidah (2009) menyatakan bahawa terdapat beberapa keadaan di sekolah dan kriteria yang perlu ada pada seseorang guru apabila mereka hendak dilantik sebagai pemimpin; iaitu;
a.       Misi
b.      Pasukan
c.      Kebolehan Mempengaruhi Rakan Sejawat
d.      Kemahiran Interpersonal Sebagai Seorang  Pemimpin Guru
e.      Budaya Sekolah
f.        Sokongan Dari Pihak Pentadbiran
g.      Pemantauan
h.      Penghargaan dan Pengiktirafan.
Ia seterusnya boleh diaplikasikan di dalam aktiviti sekolah seperti;
a.      Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP)
b.      Program 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan)
c.      Mentor Guru
d.      Kelab Guru; dan
e.      Sistem Bimbingan Taulan

Pemimpin 360 Darjah

            Kebanyakan masalah yang disuarakan oleh pemimpin ialah kesukaran mereka memimpin kerana tidak berada di kedudukan paling atas. John C. Maxwell (2005) cuba mengatasinya dengan mengajukan konsep pemimpin 360 darjah. Beliau mengutarakan gagasan memimpin ke bawah, memimpin ke atas dan memimpin silang. Ini bermakna ia mencipta semua ahli di dalam organisasinya sebagai pemimpin pada kedudukan masing-masing. Mereka juga berperanan sebagai pemimpin pada setiap kedudukan di mana mereka berada.
            Semasa memimpin ke atas, berliau menyatakan bahawa pemimpin ini akan membantu ketuanya untuk memimpin, melakukan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain seperti yang diharapkan oleh ketuanya serta sanggup tidak diberi sebarang imbuhan kerana melakukannya seperti mana yang dikecapi oleh pemimpin atasannya.
            Sementara memimpin silang (across) pula bermaksud, seorang pemimpin itu bertindak seperti kawan kepada rakan-rakan dalam organisasinya. Sebenarnya persahabatan merupakan asas penting untuk mempengaruhi orang lain. Di sinilah hubungan kemanusiaan itu begitu kritikal dan vital keperluannya. Ia juga merupakan rangka kasar untuk berjaya dan tempat berteduh daripada ribut taufan yang mungkin melanda pada bila-bila masa dalam organisasi dan keadaan persekitaran luar organisasi. Sahabat akan sentiasa mendengar kata, mencari asas persamaan antara mereka, sentiasa ada selepas waktu bekerja, mempunyai nilai kecindan dan menceritakan yang sebenar pada waktu orang lain enggan melakukannya.
            Memimpin ke bawah pula bermakna bagi mereka yang tekah sampai ke tahap menjadi pemimpin paling atas, mereka harus bergerak dengan penuh hikmah dan berhati-hati merentasi rakan seorganisasi mereka. Melihat mereka dengan penuh harapan, memberi keyakinan penuh kepada mereka meskipun ketika mereka menghadapi kesukaran dalam melaksanakan tugas. Mereka juga sentiasa mencari dan memberi peneguhan kepada usaha murni dan positif yang dilakukan oleh orang bawahannya serta memimpin mereka seperti seorang individu dan bukannya suatu kelompok.

Pemimpin Aras 5 (Level 5 Leader)

            Jim Collin (2005) ketika menganalisis bukunya yang berjudul ”Good To Great”  menyifatkan pemimpin yang berupaya membawa organisasinya  beranjak daripada tahap baik kepada tahap cemerlang merupakan ”Pemimpin Aras 5”. Kriteria yang digunakan ialah syarikat yang berjaya meningkatkan pulangan purata sekurang-kurangnya 3 kali ganda daripada pasaran selama 15 tahun diiktiraf sebagai syarikat yang cemerlang.
            Pemimpin aras 5 mengadunkan humiliti personal dengan ketinggian keupayaan profesional. Beberapa langkah dan cabaran ke arah mencapai tahap pemimpin aras 5. Di antara langkah utama ialah pengetahuan yang sangat mendalam tentang tugas dan tanggungjawab mereka di dalam sesebuah organisasi. Ini bukan sahaja mengenai kekuatan pengetahuan mereka malah ia merupakan ciri peribadi dan personaliti seseorang pemimpin. Lima hirarki kepemimpinan menurut Collin ialah;
            Level 1 : Individu yang mempunyai kemampuan tinggi
            Level 2 : Ahli-ahli kumpulan yang setia menyumbang
            Level 3 : Pengurus yang berketrampilan dan kompeten
            Level 4 : Pemimpin yang berkesan
            Level 5 : Eksekutif

            Keempat-empat aras sebelum aras 5 hakikatnya tidak mampu menganjakkan organisasi daripada tahap sederhana ke tahap cemerlang. Tidak akan berlaku anjakan daripada ”baik kepada Cemerlang” tanpa pemimpin aras 5, namun demikian pemimpin aras 5 juga harus dilengkapkan dengan faktor-faktor lain seperti memiliki hanya ahli yang benar-benar sesuai untuk membentuk budaya dan disiplin kepada organisasi berkenaan untuk aras 5 iaitu;
a.      Mempunyai keyakinan penuh kepada penggantinya untuk berjaya
b.      Mempunyai sifat mesra dan sederhana
c.      Berkeupayaan menyelesaikan ”ketidaktentuan”
d.      Mereka memperlihatkan ragam, tabiat dan watak seorang pekerja yang ”bekerja”
e.      Memberikan penghargaan dan pengiktirafan.

Pengutusan Rasul Dan Misi Pembebasan Manusia

            Dato’ Dr. Siddiq (2012) ketika mentafsirkan ayat 156 hingga 158 Surah Al-A’raf menghuraikan bahawa misi kenabian yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW di atas muka bumi ini ialah membebaskan manusia daripada segala belenggu kejahatan dan keburukan serta kenegetifan yang leluasa di dalam masyarakat manusia hingga hari kiamat. Di antara belenggu yang mengongkong dan membatasi manusia adalah daripada semua aspek termasuk pemikiran, sikap, sifat, amalan, kepercayaan, keyakinan dan seumpamanya. Ketakutan adalah antara belenggu yang melestari dalam diri manusia, kelompok dan umat Islam hingga kini. Hilangnya keberanian kerana pemikiran mereka telah lama dibelenggu doktrin bahawa mereka serba lemah dan daif.
Islam itu sendiri diturunkan untuk memudahkan dan meringankan serta membebaskan manusia daripada hukum hakam yang sebahagiannya berat dan membelenggu umat. Bayangkan umat Nabi Musa AS yang cara taubatnya kerana kefasadan dan dosa syirik kepada Allah SWT ialah dengan saling berbunuhan antara satu dengan lain. Berlainan sekali dengan umat Nabi Muhammad SAW yang dosa syirik itu diminta keampunan Allah SWT melalui lafaz istighfar sebanyaknya lalu berhati-hati pada masa lainnya. Pada zaman nabi terdahulu, apabila pakaian terkena najis, cara membersihkannya ialah dengan memotong bahagian pakaian yang terkena najis itu, namun mengikut syariat yang dibawa bersama Nabi Muhammad SAW ialah dengan menyucikannya menggunakan air mengikut cara tertentu sahaja.
Oleh itu, bagi umat Nabi SAW, tiada seorang manusiapun yang layak diikuti cara hidup dan syariat yang dibawanya kecuali segalanya yang ada pada diri Rasulullah SAW itu sendiri. Dato’ Siddiq menjelaskan lagi bahawa mesej yang hendak diterangkan melalui ayat 156 hingga 158 Surah Al-A’raf itu ialah umat hendaklah mengikut jejak Rasulullah SAW iaitu it-tiba’ ur Rasul. Mengikuti jejak kenabian Rasulullah SAW, kita akan mendapati bahawa Nabi Muhammad SAW hanya menggunakan bahasa yang keras  di dalam dua perkara sahaja iaitu;
a.      Ketika melaksanakan Hukum Allah SWT ke atas penjenayah dan pesalah undang-undang (syariat Islam)
b.      Ketika berperang dengan kaum musyrikin dan golongan kufar.

Selain daripada dua keadaan ini, baginda Rasulullah SAW amat menjaga bahasa dan intonasi suaranya. Bukankah ini membuktikan bahawa Nabi SAW setiasa menjaga hubungan baginda dengan seluruh umat yang merupakan orang yang dipimpinnya sehingga baginda dipertahankan oleh seluruh umat daripada sebarang usaha menyakiti baginda.

Kepimpinan Rasulullah SAW Sebagai Teladan Terbaik Lambang Kepimpinan Dengan Hubungan Kemanusiaan Yang Cemerlang.

            Apabila kita amati kehidupan Rasulullah SAW kita pastinya menemui terlalu banyak keistimewaan dan pelajaran yang seakan-akan tidak pernah habis ditimba dan diselidiki sepanjang zaman.. dalam hal kepemimpinan kita menyaksikan bagaimana Rasulullah SAW membangun kepercayaan dan penghormatan daripada kaumnya sebelum menjadi Nabi. Rasulullah SAW telahpun menerima gelaran ”Al-Amin” yang membawa maksud ”orang yang boleh dipercayai”. Kemudian lihatlah bagaimana daya kepemimpinan baginda ketika menyelesaikan konflik dan masalah meletakkan  Hajar Aswad ke ka’bahsetelah dibaik pulih akibat banjir. Penyelesaian yang begitu kreatif dan mampu pula memuaskan hati semua pihak.
            Setelah menjadi pemimpin tertinggi negara Islam Madinah, baginda konsisten menunjukkan daya kepemimpinan yang luar biasa. Beberapa kali baginda memimpin sendiri angkatan perang untuk menghadapi musuh, menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam kalangan umat yang semakin kompleks, menjadi pemimpin dalam kerencaman suku kaum arab dan agama yang wujud di Madinah ketika itu. Namun ditengah-tengah kesibukan baginda mengurus negara, baginda masih sempat bergurau dengan para isteri baginda dan menjahit sendiri kasut baginda yang putus. Semua kualiti yang disebutkan ini menjadikan Rasulullah SAW sebagai satu-satunya pemimpin terhebat dan  terunggul  pernah dilahirkan dalam sejarah dunia.
            Dalam tempoh yang singkat (23 tahun), risalah baginda (Islam) telah menembusi batas-batas akal manusia. Barisan para sahabat baginda yang kukuh serta sentiasa bersedia melanjutkan risalah yang dibawa baginda. Pengikut baginda juga semakin bertambah dalam waktu yang singkat. Sejarah mencatatkan bahawa ajaran Islam yang  baginda bawa  telah meluas dari jazirah kecil tidak ternama menjadi seperti dunia yang makmur dan berjaya.
Bagaimanakah Rasulullah SAW berjaya menjadi pemimpin yang demikian hebat? Ini kerana Rasulullah SAW memimpin dengan kekuatan spiritualnya , bukan kerana posisi, jabatan atau sesuatu yang dibeli dengan kebendaan dan kekuasaan. Rasulullah SAW menakluki hati para sahabat dan pengikutnya melalui hubungan kemanusiaan yang sangat tinggi. Inilah yang berjaya meraih ketaatan lantaran tertawan dengan akhlak dan budi pekerti baginda yang sangat mulia. Para sahabat dan pengikut baginda sentiasa menghormati dan mentaati baginda kerana mentaati Rasulullah  SAW adalah jalan menuju ketaatan mutlak ke hadrat Allah SWT.
Hal ini terlihat jelas pada sirah ketika Rasulullah SAW akan berangkat menunaikan ibadah haji ke Mekah setelah perang khandaq. Jawapan Abu Bakar yang kasar ketika Urwah bin Mas’ud yang ingin membuat Rasulullah SAW ragu terhadap kesetiaan umat Islam. Bagaimanakah Saidina Abu Bakar yang terkenal sebagai seorang sahabat yang lemah lembut boleh mengatakan sedemikian keras dan bagaimana pula ketika Al Mughirah  berkata dengan lantang kepada musuh yang sedang memegang janggut Rasulullah SAW supaya melepaskannya. Keberanian mempertahankan Rasulullah SAW dalam kalangan para sahabat membuktikan Nabi menawan hati para sahabatnya dan bukan membelinya dan meminta-minta. Inilah contoh konkrit bagaimana Nabi SAW menerapkan konsep kepimpinan Rasul (Prophetic Leader) dalam sejarah umat manusia.
Dr. Danial Zainal Abidin (2004) menyatakan bahawa untuk seseorang pemimpin itu berjaya mereka perlu mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT dan dengan manusia. Hubungan dengan Allah SWT dipelihara melalui pematuhannya terhadap prinsip-prinsip syariat Islam dan hubungan sesama manusia pula melalui pemeliharaan hak-hak asasi para pekerja, pengikut serta orang bawahannya.
Mampukah kita menjadi pemimpin kelas Prophetic Leader ini. Kepimpinan Rasulullah SAW  ditempa oleh Allah SWT dalam satu proses yang berterusan. Hal ini dimatangkan lagi dengan siri perjuangan dan tribulasi yang mengukuhkan sifat-sifat kepemimpinan dalam diri Rasulullah SAW. Kita harus sedar bahawa dengan pemilihan kita sebagai pemimpin di semua peringkat, kita mewarisi amanah dan tanggungjawab seperti yang pernah diamanahkan kepada dan dipikul oleh Rasulullah SAW yang sekali gus mengundang risikonya sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.
Stanley Lane Poole (2004) berkata di dalam rancangan The Speeches and Table Talk of Prophet Muhammad SAW;

”Terhimpun pada diri Muhammad itu sifat lemah lembut dan gagah berani sehingga seseorang yang cuba menilainya akhirnya akan mengkagumi dan mengasihinya. Beliau seorang yang sanggup berdepan dengan kemarahan kaumnya. Beliau juga tidak mudah melepaskan tangannya ketika bersalaman. Beliau mengasihi kanak-kanak dan sentiasa melemparkan senyuman di samping menuturkan kata-kata indah yang mulia kepada mereka. Persahabatannya yang tulus , sikap pemurah, keberanian dan kecekalan yang ada padanya, semua ini mencairkan kritikan dan sebaliknya melahirkan kekaguman.”

Refleksi Amalan Terbaik di sekolah

            Menyedari hakikat bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin sekolah khususnya ”pengetua” adalah sangat berat dan penuh risiko, maka sejak awal perkhidmatan sebagai pengetua, mereka mengamalkan pendekatan lebih bersifat ”kemanusiaan” dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah pimpinan mereka. Meskipun tugas sebagai pengetua sangat luas untuk diperincikan kerana setiap perkara yang boleh dibincangkan mengenai pendidikan dan proses pendidikan yang melibatkan ”sekolah” adalah termasuk di dalam ruang lingkup amanah kepengetuaan, maka pendekatan bersifat kemanusiaan dengan mengaplikasi segala kemahiran interpersonal bagi melaksanakan tugas-tugas mereka dengan lancar.
            Antara perkara yang sentiasa menjadi amalan dan sifat pengurusan mereka ketika melaksanakan amanah kepengetuaan di semua sekolah pimpinannya adalah seperti berikut;

a.      Melihat dan melayan warga sekolah sebagai ”insan” bukan benda atau haiwan sosial. Ia adalah asas dalam perhubungan sesama manusia. Prinsip jangan melakukan perkara yang kita tidak suka kepada orang lain jika ia dilakukan kepada kita mampu mengelakkan pemimpin daripada melayan orang bawahan mereka seperti haiwan peliharaan mahupun sebagai benda atau barangan yang tidak mempunyai perasaan atau jiwa. Justeru itu, sebagai natijahnya, kata-kata cemuhan, celaan, herdikan, teguran terbuka kepada seseorang individu dalam khalayak besar, kritikan bersifat peribadi dan sebagainya yang menunjukkan secara jelas perbezaan kedudukan antara pemimpin dengan pengikut tidak akan berlaku seperti yang lazim berlaku dalam perkhidmatan selain daripada pendidikan. Sesungguhnya ia adalah amalan dan tabiat yang diwariskan oleh ”Penjajah” British kepada umat timur di negara ini yang langsung tidak sesuai dengan kehendak Islam dan adat ketimuran rakyat negara ini. Ingatlah, jika kita ingin dihormati sampai akhir dan selepas perkhidmatan kita selaku kaki tangan awam, kita harus terlebih dahulu menghormati ”digniti” manusia lain walaupun mereka berada di bawah seliaan dan kelolaan kita.
b.      Memberi kepercayaan kepada warga sekolah untuk menjadi cemerlang. Empowerment adalah istilah biasa yang digunakan untuk situasi seperti ini, tetapi ia harus dilaksanakan dengan iringan ”percaya” bahawa mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Jika mereka mewakili pimpinan dalam sebarang majlis atau mesyuarat, mereka turut diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan bagi pihak organisasi mereka. Justeru untuk memastikan mereka hanya berbicara mengenai kepentingan organisasi yang mereka wakili, latihan dan pesanan harus sentiasa diberikan oleh pengetua kepada mereka.
c.      Memberi panduan, bimbingan dan pandangan dalam menyelesaikan / melakukan sesuatu program. Ini akan menambahkan keyakinan dan motivasi mereka untuk menyelesaikan semua tugas yang diamanahkan kepada mereka. Walaupun begitu, ianya masih boleh dilakukan secara tidak langsung ataupun melalui pimpinan atasan (immediate boss) mereka (Ketua Bidang, Ketua Panitia, Pengarah Program, Guru-Guru Penolong Kanan, Ketua Projek atau Ketua Jawatankuasa Program).
d.      Memberi kata-kata perangsang yang boleh meruntun kehendak melakukan sesuatu kerja dengan penuh semangat dan keikhlasan. Meskipun guru-guru dan staf sekolah merupakan orang-orang dewasa di dalam sekolah, namun mereka merupakan manusia biasa yang memerlukan kata-kata perangsang untuk menguatkan tekad mereka dalam menyempurnakan misi dan visi sekolah. Oleh itu, kebolehan pengetua memberi dan menyuarakan kata-kata semangat dan perangsang sentiasa diperlukan oleh semua orang bawahan mereka untuk terus mengejar kecemerlangan. Ia perlu dilakukan sama ada pada sebelum aktiviti, semasa aktiviti, semasa majlis penutup sesuatu aktiviti mahupun selepas semua aktiviti.
e.      Ambil berat dan ambil tahu (prihatin) – bersama merasai kepayahan warga / orang bawahan ketika menyempurnakan kerja-kerja mereka melalui kebersamaan, ziarah dan cakna. Rasa kekitaan dan kesepunyaan akan subur di dalam jiwa dan diri warga sekolah sekiranya semua kalangan mengambil berat antara satu sama lain, lebih penting lagi apabila ianya dilakukan dan ditunjukkan sendiri oleh pengetua selaku pemimpin sekolah. Turut sama dalam program dan aktiviti yang mereka sertai bersama murid sama ada di dalam sekolah mahupun di luar kawasan sekolah seperti ”menjengok” mereka ketika bersama murid semasa aktiviti perkhemahan , menyertai pertandingan, menjadi urusetia atau jawatankuasa program di semua peringkat pasti akan menambahkan rasa dihargai, diiktiraf dan rasa bersama dalam kalangan mereka. Di sinilah bergabungnya sifat terpuji seorang pemimpin iaitu sentiasa prihatin dan bersifat penyayang.
f.        Penghargaan dan pengiktirafan kepada kerja buat warga sekolah berupa kata-kata pujian, sijil penghargaan, markah prestasi kerja yang memuaskan warganya. Penghargaan dan pengiktirafan merupakan suatu bentuk reinforcement kepada individu mahupun kumpulan kerja berkenaan yang akan terus meningkatkan komitmen dan prestasi kerja mereka. Semua manusia memerlukan bentuk-bentuk penghargaan tertentu meskipun usia mereka meningkat.
g.      Teguran dan ingatan yang disampaikan kepada orang bawahan atau pengikut dengan penuh hikmah dan berhati-hati. Ini termasuklah mengambil kira soal tempat, situasi, masa, emosi atau mood pemimpin itu sendiri, kelainan individu, latar sosial dan keluarga individu terbabit, jasa individu berkenaan, senioriti dan pengalaman serta pengetahuan individu terbabit. Langkah berhati-hati ini akan dapat mengekalkan bahkan boleh menambah komitmen dan prestasi individu berkaitan. Mereka bukan sahaja akan memperbaiki kesilapan mereka, malah mereka akan berterima kasih kepada pemimpin yang mereka segani dan hormati itu. Bukankah kita mampu menambah kredit di dalam tabung emosi kita sekiranya kita mampu meladeni (menangani) perbuatan yang perlukan kemarahan kita kepada sipelaku, namun kita melayaninya dengan serba sederhana tanpa menunjukkan api kemarahan kita kepadanya, sudah pasti pesalah akan merasa dirinya diberi peluang memperbaiki diri dan akhirnya boleh menjadi pekerja paling taat dan paling produktif kepada organisasi/sekolah.
h.      Mengurangkan kemungkinan tercetusnya konflik antara warga sekolah. Pemimpin memainkan peranan penting menjambatani kelompok-kelompok yang mungkin telah wujud sebelum kehadirannya di sekolah berkenaan. Pemimpin mampu mendamaikan mereka dan seterusnya mengurangkan kemungkinan konflik berlaku. Menyemarakkan semangat kolaboratif dan berusaha menjadikan sekolah mereka sebagai ”sekolah koperatif” dan ”organisasi pembelajaran” merupakan strategi yang mungkin sesuai dan boleh digunakan untuk tujuan berkenaan.
i.         Menghargai dan mengakui semua dan setiap individu dalam organisasi memberi sumbangan bermakna dalam semua bentuk dan lapangan kejayaan sekolah
j.         Melayan semua warga dengan saksama untuk menghindari daripada timbulnya tanggapan ”tidak adil”, ”berat sebelah”, ”pilih kasih”, ”pilih bulu” , ”golongan kiri atau kanan”, ”favouritism” atau sebagainya.
k.       Sederhana dalam segala tindakan dan lisan kepada orang bawahan. Kesederhanaan dalam segala hal memang sangat dituntut dalam agama. Ia mampu mengelakkan pemimpin terjebak dengan konflik yang tidak sepatutnya berlaku di dalam organisasinya.  Kesederhanaan dalam tindakan akan melibatkan peraturan dan budi bicara, pemimpin yang hebat akan tahu pada waktu bila suatu peraturan itu harus dikuatkuasakan dan pada ketika bila pula budi bicara perlu diberikan. Sementara tutur kata yang sederhana akan mengundang penghormatan daripada para pengikut dan orang bawahan terhadap pemimpin mereka.
l.         Cuba mengenali ”keluarga” orang bawahan dengan lebih rapat dan mesra. Ini menjadi wasilah kepada terbinanya rasa mesra dan semangat kekeluargaan yang menyubur. Orang bawahan amat gembiran sekiranya pemimpin atau ketua mereka mahu datang ke rumah mereka, mengetahui lebih rapat dengan ahli keluarga mereka, sentiasa bertanyakan khabar ibu bapa dan ahli keluarga mereka. Pemimpin akan dilihat sebagai sahabat dan saudara kepada orang bawahan apabila datang menziarahi mereka sekeluarga. Lebih baik dan manis lagi dirasai sekiranya pemimpin datang bersama ahli keluarganya (isteri dan anak-anak). Ia juga salah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap kerja buat orang bawahan dalam organisasi mereka.
m.    Menyediakan pemimpin pelapis yang juga melambangkan ”jiwa besar” pemimpin organisasi. Dalam konteks sekolah, pengetua harus tahu senarai kekananan (senioriti) dalam kalangan orang bawahannya. Mereka harus sentiasa cuba ”menjual” orang bawahannya supaya diberi kepercayaan untuk meneruskan peningkatan kerjaya mereka. Pada masa yang sama, pengetua harus tahu barisan pengganti dalaman sekiranya berlaku pertukaran dan perpindahan kerana kenaikan pangkat dalam kalangan pemimpin lapisan kedua atau ketiga ke luar. Inisiatif ini akan memberi gambaran positif orang bawahan kepada pemimpin dan menambahkan keazaman mereka untuk bertindak cemerlang pada setiap masa.
n.      Menunjukkan teladan dan contoh yang betul. Pemimpin yang boleh dihormati dan diyakini adalah pemimpin yang jujur dan menunjukkan keikhlasan semasa menjalankan amanah. Melakukan setiap perkara yang diperkatakan oleh pemimpin akan meningkatkan keyakinan pengikut kepada pemimpin. Kepercayaan pengikut ini adalah suatu yang sangat mahal harganya
o.      Unsur kecindan dan humor harus ada dan dipraktikkan oleh pemimpin organisasi bagi mengurangkan jurang antara pemimpin dengan orang bawahan. Ia akan mengurangkan rasa ”kekok” atau rasa rendah diri dan sebagainya dalam kalangan orang bawahan terutamanya apabila ingin menyuarakan pandangan dan idea-idea baru. Dengannya juga mampu mengurangkan ”sensitiviti” melampau dalam kalangan ahli organisasi. Pemimpin juga harus mampu menerima unsur ini daripada orang bawahannya untuk membolehkan mereka rasa seronok semasa melakukan tugas.
p.      Musnahkan ”redtapes” dalam hubungan kerja dengan orang bawahan. Tidak terlalu berprotokol dan rigid dengan tatasusila dan tatacara yang terlalu remeh akan memudahkan orang bawahan mendekati dan meluahkan segala keperluan dan hasrat dalam memajukan organisasi.

Khatimah/Penutup

            Keberkesanan seseorang pemimpin menerajui organisasinya memang bergantung kepada pengetahuan dan ketrampilan mereka untuk memimpin, namun sama ada mereka boleh berjaya dengan menerima komitmen atau dukungan sepenuhnya (ikhlas dan seratus peratus) adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor kemanusiaan seluruh warga dalam organisasi tersebut. Hubungan kemanusiaan yang terjalin di antara semua warga sesebuah organisasi itu bergantung pula kepada tahap keberkesanan komunikasi antara mereka. Sementara komunikasi berkesan antara sesama manusia akan terjelma dan terserlah hanya apabila semua warga manusia di dalam organisasi itu berkomunikasi cara ”manusia” di antara satu dengan lain.
            Justeru itu, penulis berpandangan  agar semua pengetua selaku pemimpin tertinggi di sekolah masing-masing terus menimba dan menggali seberapa banyak ilmu berkaitan dengan cara kepemimpinan Rasulullah SAW dan berusaha sedaya  mungkin untuk menghayati dan mengamalkannya dalam sistem pengurusan dan pentadbiran sekolah masing-masing.
            Dengan pelbagai masalah hubungan manusia yang semakin kompleks dalam organisasi hari ini, cara penyelesaian yang lebih tuntas, berkesan dan melestari sifatnya perlu dirujuk dan dipraktik segera. Penulis tidak mempunyai sebarang keraguan untuk menegaskan bahawa cara pimpinan insan terunggul dalam sejarah umat manusia iaitu kepemimpinan Nabi Muhammad SAW selaku Penutup Nabi dan Rasul  Ulul ’Azmi perlu dan mesti menjadi ikutan semua pemimpin di dunia ini tanpa mengira pada tahap mana dan apapun jua pegangan kepercayaannya.




Bibliografi

__________________ (2011), Modul Pelaksanaan Pembangunan Dan Pentaksiran SOFT SKILLS Sekolah Berprestasi Tinggi, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Cyberjaya

Abas Awang (1999), Leadership and education change, Kertas Kerja Persidangan Pengurusan Kepimpinan Pendidikan Cemerlang Aspirasi Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur

Ahmad Ibrahim Abu Sin (1991). Pengurusan Dalam Islam, DBP, Kuala Lumpur

Ahmad Muhamad Said (2007),  Pembangunan Insan: Aspirasi Dan Realiti, Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang

Amin Senin (2011), Pemikiran Semula Pembangunan Kepimpinan Sekolah, Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.
Bennett, Tony, Lawrence Grossberg, and Meaghan Morris. "Communication”, New Keywords: A Revised Vocabulary of Culture and Society. Blackwell (2005): 47-50.
Burns, J.M (1978). Leadership. New York: Harper & Row.
Chandler, Daniel. "The Transmission Model of Communication." UWA (1994): <http://www.aber.ac.uk/media/Documents/short/trans.html
Dato’ Dr. Siddiq Fadhil (2012), Misi dan komitmen , Majlis Tafsir Maudu’iy Bulanan Kolej Dar Al hikmah, Sungai Ramal, 24 Mac 2012.

Dale Carnergie (1996), Bagaimana Memperolehi Kawan dan Mempengaruhi Orang, Thinkers Library, Kuala Lumpur.

DeBovoise, W. (1984), Synthesis of research on principal as instructional leader. Educational Leadership 41 (5), 14-21

Dr. Danial Zainal Abidin (2004), 7 Formula Individu Cemerlang, PTS Mellinea Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Encyclopedia Britannica, 2008. Encyclopedia Britannica Online.

Greenfield, W. (1987), Preface dalam Greenfield, W (Pnyt.), Instructional leadership concept, issues and controversies, Hlm. xi – xiii, Botton, Allyn and Bacon Inc.

Hisham Al-Talib (1992). Panduan Latihan Bagi Petugas Islam.,Nurin Ent., Kuala Lumpur

http://www.sabah.gov.my/jkq/pkpa/PKPA1-92/Prinsip5.htm


Huber, S.G. (2004), Preparing school leaders for the 21st century: An International comparison of development program in15 countries, London: Taylor & Francis Group.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_19.htm



Ishak Sin (2003), Gaya Kepimpinan Transformasi dan Pengajaran : gaya Manakah Yang Diperlukan Oleh Pengetua?. Jurnal Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan, Jilid 13, Bil. 02, Dis. 2003, IAB Genting Highlands

John C. Maxwell (2005), The 360 degree leader: Developing Your Influence From Anywhare in the Organization, Thomas Nelson, Inc. Tennesee.

Masnur Hamzah (2010), Quranic Leadership: Seni Memimpin Gaya Al-Quran, PTS Islamika Sdn. Bhd. Batu Caves.

Marsick V.J. & Watkins, K.E. (1999), Facilitating learning organizations, making learning count. Bookfield. VT; Gower

___________________ (2010), Amalan-Amalan Terbaik Pengurusan Pendidikan, Majlis Pengetua Cemerlang Kebangsaan.

Md.Fiah  Md.Jamin (2006), Penerapan Amalan ”Organisasi Pembelajaran” di Sekolah-Sekolah Di Malaysia Ke Arah Pendidikan Bertaraf Dunia : Satu tinjauan Teoritikal, ,  Jurnal Pendidikan PKPSM Edisi 2006, PKPSM Kebangsaan, Seremban

Md.Fiah  Md.Jamin (2007), Kemahiran Perundingan Dalam Kalangan Pengurus Sekolah – Satu Keperluan Yang Semakin Kritikal Bagi Menjana Insan Kelas Pertama,  Jurnal Pendidikan PKPSM Edisi 2007, PKPSM Kebangsaan, Seremban.

Md.Fiah Md.Jamin (2008), Pengetua Kreatif Memacu Kegemilangan Pendidikan, Jurnal Pendidikan PKPSM, Seremban.

Md.Fiah Md.Jamin (2009), Ketrampilan Mendengar Dalam Kalangan Pemimpin Pendidikan Sebagai Ciri Pemimpin Luar Biasa Dan Hubungannya Dengan Kecemerlangan Organisasi,  Jurnal Pendidikan PKPSM Kebangsaan Edisi 2009, PKPSM  Kebangsaan, Seremban

Md.Fiah Md.Jamin (2011),  Pengikut dan Kepengikutan Cemerlang Sebagai Pemangkin Pemimpin Unggul Menjayakan Transformasi Kegemilangan Organisasi, Jurnal Pendidikan MPSM Edisi 2011, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Seremban.

Mohd. Idris Jauzi (1991), Konsep Insan dan Implikasi Kepada Pendidikan ; dalam Reformasi Pendidikan Di Malaysia, Nurin Enterprise, Kuala Lumpur.

Oduro G.K.T (2004), Distributed Leadership in schools: What English head teachers say about the ”pull” and ”push” factors; file; //F:\Distributed leadership in schools: what English head teachers say about the pull and push factors; 1/10/2008

osdir.com/ml/culture.religion.healer.mayapada/.../msg00075.html

Seller, W (2001),  Introduction reforming schools: Building the capacity for change,  School Leadership & Management, 21 (3)

Senge, P. M.  (2000), School That Learn, New York ; Doubleday

Sulaiman Ibn ’Awad Qaiman (2010), Secrets Of Leadership and influence, Dakwah Corner Bookstore (M) Sdn. Bhd., Petaling Jaya.

Stanley Lane Poole  dalam Dr. Danial Zainal Abidin (2004), 7 Formula Individu Cemerlang, PTS Mellinea Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Zaidatol Akmaliah Lope Pihie (2003), Asas Kepemimpinan Transformasional Dalam Pendidikan, Pengurusan & Kepemimpinan Pendidikan : Satu Langkah Ke Hadapan, Serdang, Penerbit Universiti Pertanian Malaysia.