Thursday, 16 August 2012

KEMBARA AMAL AIDILFITRI YAYASAN CINTA NEGARA BERSAMA SMKKKLIA 1433H

Nilai, 11 Ogos  bersamaan 22 Ramadhan 1433H, Program Kembara Amal Sempena AidilFitri 1433H yang dikelolakan oleh Yayasan Cinta Negara (Pengerusi Program : YBhg. Prof. Normah  bt. Mohd. Dali, UiTM, Shah Alam) telah diadakan khusus buat meraikan anak-anak daripada keluarga yang serba kurang di SMK Kompleks KLIA. Tujuh keluarga telah dikenalpasti dan enam daripadanya yang dapat diziarahi dan diberi bantuan bagi meringankan sedikit persiapan menjelang Aidil Fitri bagi setiap keluarga pada tahun ini. Pada masa yang sama, Yayasan Cinta Negara melalui YBhg. Prof. Normah telah menyampaikan sumbangan buku-buku bacaan remaja dan kanak-kanak kepada Pusat Sumber Sekolah SMKKKLIA yang diterima oleh Pengetua sekolah, Hj. Md.Fiah Md.Jamin.

Ketika mengulas segala bantuan dan sumbangan yang diterima bagi pihak sekolah dan keluarga terpilih berkenaan, Hj.Md.Fiah mengalu-alukan dan berterima kasih kepada Yayasan kerana memilih sekolah dan keluarga daripada sekolah ini bagi menerima sumbangan berkenaan. Meskipun sekolah ini kelihatan berada di lembah pendidikan yang dilihat pesat membangun dan maju, namun hakikat bahawa masih terdapat keluarga dan kelompok masyarakat yang memerlukan perhatian dan bantuan. sebagai golongan yang diberi kemampuan dan kesedaran oleh Allah SWT, kita tidak harus lupa apatah lagi bersikap tidak "cakna"/tidak prihatin tentangnya. 

Sementara itu, Yayasan Cinta Negara melalui wakilnya, Puan Nuur Ainnisaa Ahad yang ditemani suami, Haji Ridzuan Sulaiman, mengucapkan terima kasih dan penghargaan di atas kerjasama erat yang ditunjukkan dan diberikan oleh pihak sekolah kepada Yayasan. Ini menurut beliau pastinya akan dapat memberi manfaat kepada semua pihak, bukan sahaja kepada keluarga yang terbabit menerima bantuan, malah melunasi hasrat para penderma dan penyumbang yang turut sama menjayakan segala aktiviti Yayasan sehingga kini. Beliau juga merakamkan penghargaan setingginya kepada semua "krew" Yayasan dan petugas sekolah yang terdiri daripada Pengetua, GPK HEM, PK Petang dan dua orang kaunselornya kerana melapangkan masa turut sama menziarahi keluarga terbabit.












No comments:

Post a Comment